Berkrisis tentang mazhab? Entahlah, kerana hati kita yang kotor agaknya, perbezaan yang sewajarnya menjadi rahmat bertukar juga menjadi bencana. Padahal bukan semua perbezaan adalah satu pertentangan, jika kita pandai menguruskan perbezaan, ia akan menjadi satu keindahan dan kesempurnaan. Telah berkali-kali ditegaskan bahawa berbeza pendapat bukan masalah tetapi SIKAP kita dalam berbeza pendapat itu yang sering menimbulkan masalah.
Padahal jika diamat-amati, terlalu banyak hal yang kita telah sependapat. Hanya sedikit yang berbeza. Yang sama itu pun kekadang tidak atau belum lagi dilaksanakan, diamalkan dan diperjuangkan. Contoh, riba, tutup aurat, pergaulan bebas, arak, judi dan lain-lain… sudah sepakat kita yakini haram. Tak kira apa mazhab, tidak kira apa aliran, salafi, suni, wahabi dan segala macam… tidak ada yang mengatakan itu halal. Tetapi bagaimana pelaksanaan kita?
Begitu juga perkara-perkara yang halal dan wajib. Ambil contoh sahaja solat…semua aliran dan mazhab menetapkan itu WAJIB. Tetapi bagaimana pelaksanaannya? Sedih, mengikut kajian (yang dikemukakan oleh Datuk Fadillah Khamsah) sudah 80% umat Islam Melayu Malaysia tidak sembahyang. Sepatutnya, pada perkara-perkara yang telah disepakati HARAM dan HALAL inilah yang kita fokuskan untuk berdakwah, mendidik dan akhirnya mengamalkan atau mencegahnya.
Mengapa ini berlaku? Ya, ini gara-gara penangan satu 'mazhab' lagi yang menjadi pegangan kebanyakan manusia Islam tidak kira dia itu dari mazhab Maliki, Safie, Hanbali, Hanafi, Sunni, Wahabi, Salafi dan sebagainya… ya mazhab KING MIDAS. Inilah 'mazhab' yang menjadi penyebab kepada penyakit Al Wahan – cinta dunia dan takut mati, yang sangat dibimbangi oleh Rasulullah saw kepada umat Islam akhir zaman.
Justeru, pada hari Jumaat yang mulia mari sama-sama kita renungi satu tulisan yang telah saya paparkan dalam buku Nota Hati Seorang Lelaki. Tulisan yang bertajuk: Keluarlah Dari Mazhab King Midas!
Sewaktu memberikan penjelasan tentang persoalan nilai dalam kursus 'Mukmin Profesional', saya sering mulakan dengan sebuah cerita – perihal King Midas seorang raja yang tamak. Dia mementingkan harta daripada segalanya. Apa yang dibuat, apa yang dinilai, semuanya dari kaca mata ringgit dan permata. Lalu, bila satu ketika diajukan apa permintaan utamanya, dia menyatakan keinginannya agar apa yang disentuhnya menjadi emas. Seorang tukang sihir telah 'memperkenankan' permintaannya. Dia sangat gembira. Habis semua yang disentuhnya menjadi emas. Namun kegembiraannya tidak lama.
Sebaik sahaja berasa lapar dan dahaga, alangkah terkejutnya bila makanan dan air yang disentuhnya turut menjadi emas. Dia mula kebingungan. Emas, walaupun sangat berharga masakan boleh menghilangkan lapar dan dahaga. Dan yang paling menyedihkan ialah bila puteri tersayangnya datang untuk bermanja… Puteri itu turut bertukar menjadi emas apabila dia menyentuhnya. King Midas, terkejut… sedih. Pada waktu itu tersedarlah dia bahawa emas bukanlah segala-galanya.
Mungkin ramai beranggapan, cerita King Midas ini hanya dongengan. Ya, benar itu cerita dongeng, tetapi pengajaran daripada cerita itu sangat signifikan dan relevan. King Midas adalah lambang manusia yang sudah kehilangan 'nilai' dalam dirinya. Realitinya, betapa ramai manusia yang semazhab dengan King Midas – dari dahulu hingga kini. Bukankah ada di kalangan masyarakat yang sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan 'emas' walaupun terpaksa mengorbankan saudara?
Berebut harta pusaka, saudara sendiri dizalimi. Justeru, tamakkan pangkat dan kedudukan, sahabat sendiri rela dikorbankan. Mengapa demikian? Apakah harta itu lebih utama daripada saudara dan sahabat? Semuanya gara-gara ramai manusia yang beranggapan bahawa nilai dirinya bergantung kepada 'barang-barang' bernilai yang dimilikinya. Soal 'siapa saya?' ditentukan oleh wang bertimbun yang dimilikinya. Seolah-olah 'aku' adalah kereta, vila, jumlah saham dan segala aset yang dimiliki. Pendek kata, nilai dirinya diletakkan pada barang-barang bernilai kepunyaannya.
Benar kah nilai kita terletak pada barang-barang bernilai? Hingga dengan nilai itu kita akan mendapat harga diri dan status sosial yang tinggi di mata sendiri dan orang lain. Jika benar, siapa diri kita apabila segalanya itu hilang? Jika rumah terbakar, siapa kita ketika itu? Jika kereta dicuri, apakah harga diri kita turut juga dicuri? Aneh bunyinya bukan? Tak mungkin, harga diri kita terletak kepada semua itu. Tapi, itulah praktik majoriti manusia masa kini – ramai yang menilai diri sendiri dan orang lain berdasarkan pemilikan barang-barang bernilai. Al hasil, kita jadi semakin materialistik dan individualistik.
Pernah saya mendengar sebuah cerita sufi dari Turki – seorang yang bernama Nuruddin Khoja. Dia yang berserban dan berjubah besar pada suatu ketika menaiki keldai memasuki sebuah kampung. Orang kampung mengalu-alukan kedatangannya dan melaung, "ulama, ulama, ulama… ulama sudah datang. Mari kita belajar daripadanya." Dia hairan lalu bertanya, "mana kamu semua tahu yang aku ini ulama?" Orang kampung itu menjawab, "daripada serban dan jubah yang kamu pakai." Lalu Nuruddin meletakkan serbannya di atas kepala keldainya dan berkata, "ayuh, belajarlah daripada keldai ini."
Orang kampung kehairanan dan bertanya, "mengapa kami perlu belajar dari keldai ini?" Nuruddin secara selamba menjawab, "bukankah kamu semua beranggapan bahawa aku seorang ulama hanya kerana aku berserban? Jika demikian keldai ku sekarang telah berserban, maka kamu belajarlah daripadanya." Sindiran sinis daripada Nuruddin ini sesungguhnya membuktikan bahawa pakaian luaran bukan petunjuk kepada nilai diri kita. Nilai ulama pada ilmu dan akhlaknya, bukan pada serban dan jubahnya. Tetapi begitulah selalunya, nilaian orang terhadap kita dan nilaian kita terhadap diri kita sendiri. Jika tidak masakan timbul 'konflik' kopiah putih vs songkok hitam satu ketika dulu.
Ibn Qayyim Al Jauzi pernah berkata, "tanda seorang mengalami sakit jiwa ialah apabila dia lebih mempercayai kata orang lain daripada suara hatinya sendiri." Mungkin kata-kata itu terlalu falsafah dan tersirat maknanya. Biarlah saya cuba memudahkan dengan mengaitkannya dengan realiti kehidupan sehari-hari. Sebagai contoh, betapa ramai pasangan suami-isteri yang sudah 'tidak sehati dan sejiwa' lagi tetapi bila berdepan dengan masyarakat umum kelihatan begitu romantis. Mereka berpegang tangan, berkepit seiringan, kononnya nanti masyarakat akan menyifatkan mereka pasangan yang bahagia.
Masyarakat yang tidak tahu hakikat sebenar akan berkata, "oh, beruntungnya mereka kerana punya rumah tangga yang bahagia." Bila komentar yang sedemikian sampai ke telinga pasangan yang 'tidak bahagia' itu mereka pun rasa bahagia (walaupun mereka sebenarnya berpura-pura). Alangkah anehnya manusia. Ramai yang rela hidup dalam berpura-pura atas nilai yang mereka tidak ada.
Akibat tersalah pandang tentang nilai yang sebenar, ramai juga yang hilang harga diri tanpa disedari oleh mereka. Apa tidaknya, saya sendiri pernah berdepan dengan seorang 'isteri kecewa' sewaktu mengendalikan satu kursus dengan sebuah institusi korporat di Sabah. Seorang suri rumah secara terus terang berkata, "saya rasa perkahwinan memang satu penghambaan." Ketika ditanya, "mengapa?" Dia berkata, "apa tidaknya? Sekian lama saya bertugas sebagai isteri dan ibu, saya rasa tidak dihargai oleh suami. Sedangkan nilai saya begitu tinggi…"
King Midas akhirnya sedar bahawa anak lebih utama daripada emasnya. Jangan pula kita bermati-matian mencari harta hingga terlupa mendidik anak-anak. Ironinya, bila ditanya kenapa mencari harta? Kita akan menjawab, demi anak-anak. King Midas juga sedar bahawa emas tidak akan dapat menggantikan makanan dan minuman. Hendaknya, jangan pula kita sibuk mencari duit hingga terlupa 'menikmati' duit. Siang malam berjaga, stres dan tension melanda … demi menimbunkan harta. Bila ditanya untuk apa? Untuk bahagia. Bahagia kah bila sakit menimpa? Jadi, pastikanlah yang mana alat, yang mana matlamat? Mana tujuan, mana keperluan? Jangan hanya memburu nikmat hingga terlupa Pemberi nikmat. Keluar dari mazhab King Midas
No comments:
Post a Comment