Sampai saja ke perkarangan Hospital UKM, aku terus parkir motosikal di tempat yang disediakan dan terus ke wad di mana Misha ditempatkan. Aku dah lupa pasal kawan aku yang kemalangan dan tujuan asal aku ke hospital ni dulu. Segalanya berlaku secara tak sengaja, spontan. Tapi disebabkan itulah aku jadi tak keruan. Lintang pukang habis jadual hidup aku, dengan kerja dan kelas malam yang aku hadiri, kini dengan aktiviti tambahan berulang alik ke hospital, untuk menemui gadis yang aku baru kenal. Untuk apa akupun tak tahu. Adakah aku telah jatuh cinta pada Misha, atau aku kasihankan dia? Haish, biarlah masa menentukannya. Yang penting aku perlu bertemu Misha petang ni juga.
"Assalamualaikum," sapaku sebaik sahaja wajah Misha berada di depanku. Misha dah nampak makin bertenaga, mungkin dia dah boleh menerima makanan selepas selesai pembedahan pada sebelah pagi tadi. "Mualaikum salam," balas Misha sambil menoleh ke arah aku. Misha tersenyum manis. "Awak datang ke tengahari tadi? Maaflah saya tak perasan sangat, masih tak sedar sepenuhnya tadi," sapa Misha. Oh, dia perasan aku datang tengahari tadi rupanya. "Tak apa, macamana, dah sihat?" alamak, apa punya soalan aku tanya ni, aduh tak sensitif betul. "Bolehlah," balas Misha. "Awak datang melawat kawan awak lagi ke hari ni? Baiknya awak selalu datang melawat kawan tu, bertuah sungguh dia." Alamak, kantoi, apa aku nak jawab ni? "Err, saya datang nak jumpa Misha sebenarnya. Eh, banyak persoalan dalam kepala saya ni. Tapi tak apalah, Misha berehatlah dulu," balas aku tergagap-gagap. Maklumlah aku ni bukannya biasa sangat berbicara dengan kaum hawa yang aku baru kenal, pasti berpeluh habis. "Oo...Adi nak tanya saya? Pasal apa tu? Oh ya, terima kasih sebab bagi saya jambangan bunga ni, cantik," kata Misha sambil minta kepastian. Alamak, dia ingat nama aku? Oh, kad dengan jambangan bunga ynag aku beri tengahari tadi ada tercatat nama dan nomber telefon bimbit aku. "Err, maaf saya bertanya, Misha sakit apa? Tapi saya suka tengok you, semangat you kuat walaupun terlantar di wad tapi tetap sentiasa tersenyum dan ceria," jawabku pantas dan cuba mengambil hati.
"Erm, Adi nak tau ke? Buat Adi susah hati je nanti, tak payah fikirlah pasal penyakit Misha," jawab Misha sopan sambil tersenyum cuba menutup sesuatu. Aku mengangguk tanda menghormati keputusan Misha. Namun Misha tetap tersenyum dan nampak ceria. Aku kebingungan. "Misha lama lagi di wad ni. Kalau Adi sudi datang-datanglah melawat Misha," sambung Misha lembut. Aku mengiyakan tanda bersetuju sambil tersenyum paksa. Misha tak suka bercerita pasal kisah penyakitnya. Dia lebih suka bercerita dan bertanyakan hal diri aku. Semuanya dia nak tahu, dari tempat kelahiran, persekolahan sehinggalah tempat aku bekerja sekarang. Katanya dia rindukan saat-saat itu. Dia asyik keluar masuk hospitak sahaja dua tahun yang lalu. Pengajian Misha di peringkat Sarjana Muda tertangguh sejak itu. Setelah puas berbual, barulah aku tahu kami sekampung rupanya, Kampung Tunku Putra, Kilang Lama, Kulim. Dan kami pernah ke sekoah yang sama semasa zaman sekolah rendah dulu, Sekolah Rendah Tunku Abdul Malik, Kulim. Dia junior aku dua tahun. "What a small world," kata Misha sambil ketawa kecil. "Nanti Misha tanyakan emak Misha kalau dia kenal ibubapa Abang Adi," tambah Misha. Alamak, dia panggil aku abang. Ya lah, aku kan senior dia setahun di sekolah dulu. Cumanya keluarga Misha berpindah ke Seberang Jaya apabila dia masuk ke sekolah menengah. Sebab tu aku tak ingat sangat, dah lama, lebih kurang 12 tahun. Aku ni bukannya ingat sangat hal-hal yang macam ni. Tapi bila dia cerita balik kisah-kisah di sekolah rendah dulu, teringat aku kepada cikgu-cikgu aku dulu yg mendidik kami menjadi orang yang berguna sekarang ni. Rotan dan tunjuk ajar Cikgu Sahar, Cikgu Lah, Cikgu Lim dan Teacher Param itulah yang membuatkan aku jadi manusia yang boleh dikatakan berjaya jugalah. Aku akan graduat tak lama lagi dengan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pentadbiran Perniagaan daripada OUM. Tentu mak dan ayah aku amat berbangga. Tentu guru-guru aku juga turut berbangga dengan kejayaan aku.
Aku punya cita-cita untuk menyambung lagi pengajian aku sehingga ke tahap yang lebih tinggi yang aku mampu. Aku nak menyahut cabaran Pak Su aku yang sering memperlekeh-lekehkan adik-beradik aku. Maklumlah keluarga kami kurang berada berbanding dengan keluarga Pak Su. Semuanya graduat daripa universiti luar negara, malah kesemuanya telah berkahwin dan menetap di sana. Kadang-kadang kesian pulak aku dengan Pak Su, anak-anak semuanya jauh. Walaupun berjaya tapi tak ingat nk balik ke Malaysia dan berjasa kepada negara sendiri. Kalau aku dan adik beradik aku tak pergi ke rumah Pak Su apabila menjelang hari raya, Pak Su hanya beraya dengan Mak Su sahaja di kampung.
"Misha, saya kena pergi dulu, nak balik salin pakaian sebelum ke kelas. Jumpa lagi besok, insyaAllah. Misha nak pesan apa-apa ke, boleh saya bawakan," tanyaku sambil mencapai helmet Shoei yang aku bawa ke mana-mana. Maklumlah topi tu mahal, RM1500 aku beli dulu bersama-sama dengan motorsikal Yamaha R6 aku tu. Kalau hilang, jawabnya pakai helmet murah je lah. Bulan ni poket tengah kering, baru je balik raya di kampung, nak kena bayar yuran graduasi lagi.
"Tak apa, esok mak Misha sampai dari kampung. Misha dah pesan semuanya. Kala ada apa-apa yang Misha nak nanti, Misha telefon abang okey?" Balas Misha.
Aku bergegas balik ke rumah. Aku masih belum mendapat jawapan daripada Misha, tapi hati aku tenang, setenang wajah Misha yang menanggung kesakitan itu. Aku sungguh terharu dan kagum dengan ketabahan Misha. Esok mak Misha nak sampai, boleh ek aku pergi jumpa Misha ni? Mak dia boleh ke terima kehadiran aku nanti? Fuh, pening aku memikirkannya...
No comments:
Post a Comment